Kos,Produktiviti dan Kecekapan Pengurusan Hutan

KOS, PRODUKTIVITI DAN KECEKAPAN PENGURUSAN HUTAN NEGERI PERAK

Rancangan Pengurusan Hutan (RPH) Negeri Perak bagi tempoh 2026–2035 merupakan dokumen rasmi yang komprehensif dan diiktiraf di peringkat nasional. Dokumen yang dirangka oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) bertujuan untuk memastikan pengurusan HSK dilaksanakan secara terancang, lestari dan cekap. Dokumen ini menjadi panduan penting bagi pihak berkuasa negeri, JPNPk dan semua pemegang taruh dalam memastikan pengurusan HSK yang mampan, selaras dengan Dasar Perhutanan Malaysia (DPM), Dasar Perhutanan Semenanjung Malaysia (DPSM), dan aspirasi negeri melalui Pelan Perak Sejahtera 2030, khususnya kerangka Perak Bumi Lestari. Penyediaan RPH ini memenuhi peruntukan perundangan Seksyen 2(1) dan Seksyen 4 Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985. RPH ini berfungsi sebagai rangka kerja holistik untuk mengurus hutan Perak, beralih daripada fokus kayu semata-mata kepada pengurusan perkhidmatan ekosistem yang bernilai tinggi, menyokong ekonomi hijau, dan menjamin warisan alam semula jadi untuk masa depan. Kerajaan Negeri beriltizam untuk mengekalkan pengiktirafan antarabangsa melalui Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS). RPH ini juga penting untuk mematuhi peraturan antarabangsa baharu seperti Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), membuktikan aktiviti pengeluaran hasil hutan dijalankan secara sah dan bertanggungjawab. HSK negeri Perak yang merangkumi hutan asli (darat dan paya laut) dan hutan ladang serta memfokuskan kepada pemeliharaan mega biodiversiti, selain menyediakan kayu-kayan, hasil herba, ubat-ubatan, sumber makanan, dan berperanan penting sebagai kawasan tadahan air serta pembekal oksigen.

Kecekapan pengurusan hutan menjurus kepada penggunaan sumber untuk memenuhi kehendak semasa yang tidak akan menjejaskan keupayaan alam dan ekonomi untuk mengeluarkan produk dan perkhidmatan. Maksud cekap dari segi ekonomi boleh dibahagikan kepada: kecekapan pengeluaran dan kecekapan pengagihan. Kecekapan pengeluaran bererti produk atau perkhidmatan dikeluarkan pada kos pengeluaran terendah dan mencapai piawaian kualiti tertentu. Kecekapan pengagihan pula terjadi apabila produk dan perkhidmatan sampai kepada pengguna mengikut masa dan tempat yang telah ditentukan. Dalam perhutanan, dari segi ekonomi, kecekapan pengurusan ini meliputi tanah (termasuk sumber kayu-kayan), modal insan, modal kapital dan kemahiran keusahawanan.
Rancangan ini digubal dengan objektif untuk mencapai pengurusan dan pembangunan berkekalan sektor perhutanan selaras dengan dasar, strategi dan matlamat pengurusan hutan yang mengambil kira keperluan sosio-ekonomi, alam sekitar serta kepelbagaian biologi. Misi utama Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) adalah untuk memperkasakan kelestarian pengurusan kepelbagaian fungsi hutan bagi kesejahteraan masyarakat, daya tahan ekosistem dan kemampanan ekonomi. Sembilan objektif khusus yang digariskan termasuk:

1. Memastikan kawasan hutan yang mencukupi diurus secara lestari dengan mengekalkan kepelbagaian fungsinya.
2. Meningkatkan kawasan perlindungan serta menghubungkan kawasan hutan terpencil bagi menjamin kelangsungan habitat hidupan liar.
3. Memperkukuh aktiviti pemeliharaan , restorasi dan pengeluaran hasil hutan secara lestari sebagai langkah mitigasi terhadap perubahan iklim.
4. Mempertingkat hasil perkhidmatan hutan dan aktiviti ekopelancongan.
5. Mentransformasikan amalan pengurusan hutan melalui penggunaan teknologi dan pendigitalan.
6. Memperkasakan pengurusan perladangan hutan bersepadu secara mesra alam.
7. Memastikan penggunaan sumber hutan yang lebih cekap untuk industri pemprosesan hasil hutan.
8. Menggalakkan penglibatan masyarakat setempat, komuniti Orang Asli dan badan bukan kerajaan dalam aktiviti pengurusan hutan.
9. Membangunkan modal insan yang kompeten, inovatif dan berdaya saing.

Objektif lain termasuk memelihara dan melindungi kepelbagaian biologi, air, dan tanah secara berkekalan, serta meningkatkan kualiti dan kecekapan kilang pemprosesan industri berasaskan keluaran hutan. Pentadbiran Organisasi Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) berfungsi sebagai penasihat pihak berkuasa negeri (PBN) dalam pentadbiran sumber hutan dan mengurus HSK secara lestari. JPNPk bekerjasama dengan rakan strategik seperti JAKOA, PERHILITAN, PDRM, ATM, FRIM, JMG, JAS, dan pelbagai NGO. Struktur perjawatan yang diluluskan pada 2025 adalah sebanyak 767 jawatan di mana 698 jawatan telah diisi (91.0%) manakala 69 (9%) jawatan masih kosong. JPNPk menguruskan keseluruhan kawasan HSK seluas 988,723.93 hektar bagi tahun 2025 termasuk hutan asli (hutan darat dan hutan paya laut), hutan ladang dan taman negeri. HSK dikategorikan kepada 11 kelas fungsi hutan bawah Seksyen 10(1) Akta Perhutanan Negara 1984. Guna tanah negeri Perak didominasi oleh kawasan hutan (1,058,221.45 ha atau 50.39%) dan pertanian (789,665.78 ha atau 37.60%). Segala hal ehwal pentadbiran tanah adalah dalam bidang kuasa Kerajaan Negeri. HSK diuruskan berdasarkan prinsip pengurusan hasil secara berkekalan. Pengusahasilan kayu dilaksanakan mengikut kadar pertumbuhan hutan bagi memastikan sumber kekal lestari, selaras dengan konsep perolehan berkekalan. Had batas tebangan (HBT) ditentukan menggunakan data bancian sebelum tebangan (Pre-F) dan Sistem Inventori Hutan Sebelum Tebangan.

Pengusahasilan hutan darat asli dilaksanakan mengikut Garis Panduan Pembalakan Berimpak Rendah (RIL). Pendekatan RIL diguna pakai kerana pendekatan ini terbukti dapat mengurangkan kesan negatif terhadap dirian tinggal, tanah, dan sumber air, serta mengekalkan kapasiti pengeluaran hutan dan fungsi ekologi selepas tebangan. Walaupun peralatan khusus tidak diperincikan, kecekapan operasi pengusahasilan hutan dan pematuhan kepada peraturan oleh kontraktor pembalakan ditekankan untuk mengurangkan kerosakan alam sekitar. Dari segi pengurupermohonan kawasan membalak menjejak pergerakan kayu balak dan Analisis Inventori Hutan Pre-F dan Post-F untuk pemadanan data sebelum dan selepas tebangan.

Pengurusan hutan darat asli di Perak dilaksanakan mengikut konsep pengurusan hutan secara berkekalan (SFM) menggunakan piawaian MC&I SFM. Sistem pengurusan telah berevolusi, termasuk Malayan Uniform System (MUS) yang digunakan selepas Perang Dunia Kedua untuk mewujudkan hutan seragam. Rawatan silvikultur dijalankan tiga hingga lima tahun selepas tebangan. Opsyen rawatan adalah sama ada memotong akar/pepanjat (CL) atau tanaman mengaya (TM), berdasarkan keputusan analisis Inventori Hutan Selepas Tebangan (Post-F).

Dari segi Pengurusan Hutan Paya Laut di Negeri Perak pula, Hutan Paya Laut Matang diiktiraf sebagai satu daripada sistem pengurusan hutan paya laut terbaik di dunia dan menyediakan sumber seperti kayu bakau untuk arang. Rancangannya dirujuk dalam Rancangan Kerja Hutan Paya Laut Matang 2020-2029 (RKHPL 2020-2029).

Strategi pelaksanaan menekankan keseimbangan antara aspek alam sekitar, sosial dan ekonomi. Perak turut menumpukan kepada strategi penjanaan sumber ekonomi baharu berkonsepkan “Forest Beyond Timbers”. Ini termasuk potensi mengimbangi karbon di kawasan perlindungan untuk menyumbang kepada sasaran neutral karbon negara menjelang 2050. Selain itu, inisiatif bayaran untuk perkhidmatan ekosistem hutan (PFES) dilihat berpotensi menjana pendapatan tambahan kepada JPNPk sama ada secara skim bayaran awam, swasta, atau awam-swasta. Analisis sosio-ekonomi menunjukkan RPH menyokong tema Sejahtera Sosial dan Sejahtera Ekonomi Perak Sejahtera 2030, termasuk melalui pengurusan destinasi mampan dan penglibatan komuniti.

Anggaran jumlah kutipan hasil tahunan JPNPk adalah RM36,831,800.00 dengan anggaran keseluruhan kutipan royalti sebanyak RM104.0 juta sepanjang tempoh 2026–2035. Anggaran keseluruhan perbelanjaan (Mengurus, Pembangunan, dan KWPH) bagi tempoh 2026–2035 adalah sekitar RM798.7 juta. Peruntukan Mengurus (B25) dianggarkan berjumlah RM578.7 juta, manakala perbelanjaan Pembangunan (P05 dan P23) untuk RMK-13 (2026- 2030) adalah RM64.015 juta, merangkumi projek seperti menaik taraf Kompleks Latihan Sg. Siput dan pembinaan Pejabat Hutan Daerah Hulu Perak. Pengurusan bajet yang cekap, telus, dan strategik adalah penting untuk memastikan kelestarian sumber hutan dan menyokong objektif Pelan Perak Sejahtera 2030. Bagi memastikan keberkesanan RPH, semakan separuh penggal wajib dilaksanakan selepas lima tahun untuk menilai prestasi fizikal dan kewangan serta menangani masalah yang timbul.


Terakhir dikemaskini: 27 Februari 2026

Hubungi Kami