Sosio-Ekonomi

Demografi Penduduk

Laporan sosio-ekonomi negeri Perak melaporkan jumlah penduduk negeri adalah sekitar 2.54 juta penduduk dengan tiga daerah penduduk tertinggi adalah Daerah Kinta, 888.8 ribu orang, diikuti dengan Daerah Larut dan Matang, 269.6 ribu orang dan Daerah Manjung dengan 247.0 ribu orang. Negeri Perak dengan keluasan kira-kira 21,146 km² , kepadatan penduduk dianggarkan sekitar 118 orang per km². Nisbah mengikut jantina adalah 108 lelaki bagi setiap 100 wanita. Berdasarkan komposisi etnik, etnik warganegara di Perak tertinggi adalah Bumiputera sekitar 60.9%, kaum Cina 27.2%, India 11.5% dan lain-lain sekitar 0.5%. Jumlah Orang Asli di Perak adalah 62, 134 orang dengan jumlah ketua isi rumah (KIR) adalah 17,212 orang (JAKOA, 2024). Secara pentadbiran, negeri Perak terbahagi kepada sepuluh daerah utama bawah pengurusan pihak berkuasa tempatan. Walau bagaimanapun, penempatan masyarakat Orang Asli hanya terdapat di enam daerah, iaitu Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Perak Tengah, Batang Padang, dan Hilir Perak.

Sektor Ekonomi Negeri

Sektor ekonomi negeri Perak pada tahun 2023, keluaran dalam negeri kasar (KDNK) dianggarkan sekitar RM 82.6 billion. Sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar dalam KDNK negeri iaitu kira-kira 61.4%, melalui subsektor utiliti, perdagangan borong & runcit dan maklumat & komunikasi. Sektor pembuatan pula mencatat sektor kedua tertinggi sumbangan dalam KDNK iaitu sekitar 20.1% disokong oleh subsektor produk elektrik, elektronik & optikal serta produk petroleum, kimia, getah & plastik. Sektor pertanian menyumbang sebanyak 15.3% didorong oleh peningkatan dalam aktiviti kelapa sawit, sayur-sayuran, buah-buahan dan ternakan. Sumbangan subsektor perhutanan dan pembalakan menyumbang sekitar 2.7% daripada keseluruhan sektor pertanian dengan nilai kirakira RM 314 juta (2021). Seterusnya sektor pembinaan menyumbang sekitar 2.5% dan sektor perlombongan dan pengkuarian menyumbang 0.5% kepada KDNK negeri.

Komuniti Tempatan di Sekitar Hutan Simpanan Kekal (HSK)

Penempatan di kawasan atau bersempadan dengan HSK di negeri Perak terdiri daripada dua kumpulan etnik utama, iaitu Melayu dan Orang Asli. Penempatan komuniti Orang Asli ini mempunyai hubungan yang signifikan dengan pembangunan dan pengurusan HSK di negeri Perak. Dari segi perspektif pengurusan, dua kategori penempatan yang wujud sama ada dalam kawasan HSK atau sekitar/berhampiran dengan kawasan HSK.

i. Penempatan perkampungan masyarakat Orang Asli. Penempatan ini berada di pinggir kawasan HSK ada sebahagiannya dalam kawasan hutan simpan. Pentadbiran kampung diketuai oleh Batin. Keseluruhan kampung dikelola Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) daerah, bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW);

ii. Penempatan perkampungan tradisi. Perkampungan ini adalah penempatan majoritinya kaum Melayu. Pentadbiran kampung adalah diketuai oleh Pengerusi JPKK kampung. Penempatan ini kesemuanya berada di luar kawasan hutan simpan.

Hutan bukan sahaja sumber ekonomi dan ekologi, tetapi juga mempunyai kepentingan sosial, budaya dan spiritual yang tinggi kepada komuniti yang tinggal berhampiran dengannya. Komuniti Orang Asli memainkan peranan penting dalam memastikan kelestarian sumber hutan melalui amalan tradisional, penjagaan habitat dan penggunaan sumber secara mampan. Oleh itu, pengiktirafan terhadap hak dan kepentingan mereka adalah elemen penting dalam dasar pengurusan hutan lestari negara.

Komuniti tempatan, termasuk kaum Orang Asli, mempunyai hak tradisional untuk mengakses dan menggunakan sumber hutan bagi keperluan asas kehidupan. Antara hak yang diiktiraf adalah pengumpulan hasil hutan bukan kayu seperti rotan, buluh, damar, madu, herba ubatan, dan bahan kraftangan. Selain kegiatan pertanian sara diri di kawasan pinggiran hutan seperti tanaman ubi, padi huma dan buah-buahan, turut ada penggunaan sumber semula jadi untuk kegunaan tradisional seperti bahan binaan rumah dan perubatan herba.

Komuniti persekitaran hutan ini juga berhak mendapat manfaat sosial dan ekonomi daripada aktiviti pengurusan hutan secara lestari. Antara bentuk hak ini termasuk penyertaan dalam aktiviti ekonomi hutan, seperti program ekopelancongan, pengumpulan hasil hutan bukan kayu dan pemulihan hutan komuniti. Selain itu, penglibatan dalam program pembangunan komuniti, termasuk bantuan ekonomi, latihan kemahiran dan akses kepada program kerajaan seperti Program Perhutanan Sosial dan hak untuk berunding dan memberi persetujuan awal sebelum sebarang aktiviti pembangunan dijalankan di kawasan hutan yang digunakan oleh komuniti.

Kepentingan Komuniti Di Persekitaran HSK

Kepentingan ekonomi hutan sebagai sumber ekonomi utama bagi komuniti tempatan seperti penjualan hasil hutan bukan kayu seperti rotan, buluh, damar dan madu. Selain, aktiviti ekopelancongan berasaskan komuniti yang memberi peluang pekerjaan dan pendapatan tambahan, Malim Gunung Perhutanan dan yang berkaitan. Pembangunan produk herba, ubatan dan kraftangan juga dapat meningkatkan ekonomi tempatan.

Selain ekonomi, hutan juga penting terhadap sosial dan budaya bagi komuniti setempat. Hutan menjadi sebahagian daripada identiti dan kehidupan sosial masyarakat luar bandar dan Orang Asli. Hutan berfungsi sebagai lokasi bagi aktiviti adat, ritual, dan amalan keagamaan tradisional. Kawasan hutan juga turut menjadi tempat pendidikan semula jadi generasi muda untuk mempelajari nilai kelestarian dan warisan nenek moyang.

Dari segi nilai ekologi, komuniti di persekitaran hutan berperanan sebagai penjaga alam semula jadi dengan mengamalkan sistem pengurusan tradisional yang lestari, seperti penggiliran tanaman dan kawalan penggunaan sumber. Komuniti juga berperanan dalam membantu agensi kerajaan dalam pemantauan dan perlindungan hutan daripada aktiviti pembalakan haram dan pencerobohan. Penglibatan komuniti juga dapat menyumbang kepada pengekalan biodiversiti melalui pengetahuan ekologi tradisional.


Terakhir dikemaskini: 27 Februari 2026

Hubungi Kami