• Utama
  • Perhutanan
  • Sumber Hutan
  • MC&I SFM
  • Ringkasan Awam : Impak-Impak Alam Sekitar

Ringkasan Awam : Impak-Impak Alam Sekitar

PENGENALAN

Keterangan serta penjelasan ringkas berhubung dengan keperluan untuk menyedia dan melaksana penilaian impak sosial (SIA) ke atas pelaksanaan aktiviti pengurusan hutan bagi tempoh RPH 2026- 2035 perlu diketahui. SIA adalah antara keperluan dalam Kriteria dan Petunjuk Malaysia untuk Pensijilan Pengurusan Hutan Lestari (MC&I). MC&I telah mengiktiraf kepentingan SIA terhadap operasi pengurusan hutan seperti yang dinyatakan dalam Prinsip 4 iaitu operasi-operasi pengurusan hutan mesti mengekalkan atau menambah kesejahteraan sosial dan ekonomi pekerja-pekerja hutan dan masyarakat tempatan untuk jangka masa panjang. Prinsip 8 menetapkan pemantauan mesti dijalankan bersesuaian dengan skala dan intensiti pengurusan hutan.

Ringkasan hasil pemantauan petunjuk-petunjuk yang disenaraikan adalah bersandarkan kepada Petunjuk 8.1.2 “Pengurus-pengurus hutan hendaklah mematuhi prosedur-prosedur pemantauan yang sesuai, mengikut garis panduan persekutuan dan negeri yang berkaitan daripada jabatan perhutanan dan agensi agensi lain yang berkaitan”. Pada kriteria 8.2 (c) “Data yang diperoleh melalui aktiviti pemantauan hendaklah digunakan untuk menilai pelan pengurusan hutan dan menunjukkan kemajuan ke arah pengurusan hutan secara lestari. Ringkasan maklumat yang diperoleh hendaklah tersedia untuk umum”. Ini adalah merujuk kepada impak-impak alam sekitar dan sosial disebabkan oleh pengusahasilan dan operasi-operasi lain hendaklah dimaklumkan kepada pihak awam.

SIA ditakrifkan sebagai satu proses yang mengenal pasti, meramal, menilai dan menyampaikan maklumat berkaitan impak positif dan negatif sesuatu polisi atau rancangan pengurusan, operasi yang dirancang untuk komuniti dan seterusnya mencadangkan langkah mitigasi untuk mengelak atau mengurangkan impak sosial negatif sambil mengesyorkan langkah untuk mempertingkatkan lagi impak yang menguntungkan. Pada dasarnya SIA digunakan sebagai alat perancangan bertujuan untuk mengelak atau mengurangkan impak negatif sambil memaksimumkan kesan yang menguntungkan khususnya kepada komuniti setempat. SIA merupakan satu proses untuk mengelak kesalahan yang mungkin merugikan dari sudut sosial. Maklumat mengenai impak sosial utama akan dapat dikenal pasti selepas aktiviti penilaian yang dijalankan (sama ada melalui tinjauan, temubual dan tinjauan di lapangan sebenar). Besar kemungkinannya impak ini berhubung kait dengan alam sekitar terutama bekalan sumber dari persekitaran hutan seperti bekalan dan kualiti air, ekonomi tempatan dan kehidupan sosio-budaya masyarakat setempat. Sungai yang mengalir dari kawasan hutan merupakan sumber yang amat penting kerana berperanan membekalkan air minuman serta air untuk kegunaan domestik kepada komuniti setempat. Penilaian terhadap analisis penemuan SIA dilaksanakan untuk mengenal pasti, menilai, meramal dan menyampaikan maklumat berkaitan impak yang bakal dihadapi apabila sesuatu projek dilaksanakan. SIA juga dapat mengemukakan cadangan untuk mengelak atau mengurangkan impak negatif yang diterima di samping memberi langkah untuk mempertingkatkan impak yang positif. Komuniti yang menjadi sasaran SIA adalah penduduk tempatan dan Orang Asli yang membolehkan mereka menerima impak secara langsung daripada operasi pengurusan hutan. Perbincangan juga turut diadakan bersama penerima impak secara tidak langsung bagi mendapat pendapat serta cadangan mereka. Penilaian secara keseluruhan dilaksanakan berdasarkan data penilaian SIA yang dibekalkan oleh setiap daerah hutan iaitu bagi fasa penilaian sebelum, semasa dan selepas operasi pengusahasilan hutan. Fasa SIA di sektor pengusahasilan hutan. Fasa SIA di sektor pengusahasilan hutan simpanan kekal lazimnya melibatkan tiga fasa utama iaitu sebelum, semasa dan selepas.

PENILAIAN HASIL ANALISIS KAJIAN IMPAK SOSIAL (SIA)

Analisis SIA adalah berdasarkan kepada lima daerah hutan di negeri Perak dengan HSK yang terlibat seperti:

i. Daerah Hutan Perak Selatan: Hutan Simpan (HS) Bukit Tapah, HS Bukit Slim dan HS Behrang
ii. Daerah Hutan Kuala Kangsar: HS Korbu dan HS Bintang Hijau
iii. Daerah Hutan Kinta/Manjung: HS Bubu, HS Parit dan HS Teluk Muroh
iv. Daerah Hutan Larut dan Matang: HS Bintang Hijau dan HS Bukit Naga
v. Daerah Hutan Hulu Perak: HS Temengor, HS Bintang Hijau dan HS Belukar Semang

RUMUSAN PENILAIAN HASIL ANALISIS KAJIAN IMPAK SOSIAL (SIA) DAN LANGKAH TINDAKAN BERSESUAIAN

Analisis mendapati majoriti wakil penduduk (83%) bagi keseluruhan daerah pengurusan hutan menyatakan aktiviti pengusahasilan telah memberi impak positif kepada peningkatan ekonomi persekitaran melalui pendapatan sama ada peluang pekerjaan, melalui sewaan rumah/kedai, pendapatan melalui kedai runcit dan kedai makan serta pembinaan jalan-jalan ke kebun menjadikan hasil kebun mudah dikeluarkan. Secara keseluruhan, pelaksanaan Penilaian Impak Sosial (SIA) di hutan simpanan kekal di negeri Perak menunjukkan bahawa aktiviti pengusahasilan hutan tidak mengakibatkan gangguan besar kepada komuniti setempat merangkumi aspek sosial, ekonomi, kesihatan, infrastruktur dan alam sekitar.

Impak positif:

Pelaksanaan penilaian impak sosial (SIA) dalam sektor perhutanan di negeri Perak telah membawa pelbagai kesan positif yang signifikan terhadap masyarakat, Kerajaan Negeri, serta kelestarian alam sekitar. Secara asasnya, SIA memastikan pembangunan atau aktiviti perhutanan seperti operasi pengusahasilan terkawal, pembangunan ladang hutan, projek ekopelancongan, atau inisiatif perhutanan sosial dijalankan dengan mengambil kira keperluan komuniti setempat dan kesejahteraan sosial. Antara impak positif yang dapat dilihat dengan jelas ialah peningkatan kesejahteraan ekonomi masyarakat setempat.

Melalui pelaksanaan SIA, pelbagai peluang pekerjaan baharu dapat diwujudkan, sama ada dalam bentuk aktiviti pengusahasilan terkawal, pengurusan hasil hutan bukan kayu, mahupun sektor ekopelancongan berasaskan hutan. Peluang pekerjaan yang diwujudkan meliputi pelbagai bidang seperti pekerja hutan, penebang pokok, pemandu jentera, kerani matau, kepala hutan, pemandu pelancong alam semula jadi atau malim gunung perhutanan, serta pekerja am di tapak semaian. Kewujudan peluang pekerjaan ini telah membuka ruang kepada masyarakat setempat untuk terlibat secara langsung dalam operasi pengurusan hutan serta aktiviti yang berkaitan dengan perkhidmatan ekopelancongan, sekali gus meningkatkan taraf sosioekonomi mereka. Peluang lain termasuk kerja tapak semaian, membekal dan menanam anak benih, membekal pelbagai keperluan untuk kem pembalakan dan sebagai pengangkut. Aktiviti ekopelancongan lebih berpotensi ekoran jalan hutan yang memudahkan lagi aksesibiliti. Aktiviti seperti treking, berkayak, kem motivasi, inap desa, perkemahan, dan rekreasi luar juga boleh menjana peluang perniagaan dan pekerjaan untuk komuniti setempat. Secara tidak langsung, peningkatan sumber pendapatan ini memberi kesan kepada pengurangan kadar kemiskinan, terutamanya dalam kalangan masyarakat luar bandar dan komuniti Orang Asli yang masih bergantung kepada sumber hutan untuk kelangsungan hidup.

Selain itu, SIA juga menyumbang kepada pengukuhan aspek sosial dan budaya. Proses penilaian ini menitikberatkan kepentingan warisan, adat, dan tradisi komuniti setempat, sekali gus mengelakkan berlakunya pencerobohan atau pengabaian terhadap nilai budaya masyarakat. Melalui pendekatan ini, sensitiviti sosial dapat dipelihara dan hubungan antara agensi pelaksana dengan masyarakat menjadi lebih harmoni. Dari sudut tadbir urus, SIA memberi ruang penglibatan komuniti dalam proses membuat keputusan berkaitan pengurusan hutan. Penyertaan masyarakat secara bermakna bukan sahaja meningkatkan rasa tanggungjawab bersama terhadap sumber semula jadi, malah membina keyakinan antara pihak kerajaan, pengusaha hutan, dan masyarakat. Hal ini membawa kepada pengurangan konflik tanah serta pertindihan kepentingan antara pelbagai pihak. Impak positif lain yang ketara adalah dari segi kesedaran awam terhadap kelestarian alam sekitar. Proses SIA memberi pendedahan kepada masyarakat tentang kepentingan pemeliharaan biodiversiti, perlindungan sumber air, serta pengurusan risiko bencana seperti banjir dan tanah runtuh. Kesedaran ini seterusnya memperkukuhkan daya tahan komuniti dalam menghadapi cabaran perubahan iklim dan degradasi alam sekitar. Beberapa impak sosial yang diukur dan dan dinilai adalah seperti impak kestabilan sosial ekonomi, alam sekitar, kesihatan, flora dan fauna dan infrastruktur. Impak kepada alam sekitar termasuklah maklum balas penduduk setempat yang merupakan kumpulan yang paling terjejas sekiranya penempatan mereka adalah yang paling hampir dengan kawasan aktiviti usaha hasil. Penduduk akan memberikan pandangan sekiranya terdapat kesan atau impak pada bekalan air bersih sebelum, semasa dan selepas aktiviti usaha hasil.

Namun begitu, bagi penilaian SIA di HSK negeri Perak, SIA mendapati tiada bantahan oleh mana-mana penduduk dikemukakan melalui wakil komuniti atau ketua kampung terhadap lesen pengusahasilan ini setelah sesi aktiviti pembalakan selesai dilaksanakan. Wakil penduduk juga menyatakan tiada aduan atau rungutan ke atas impak visual setelah kerja-kerja pembalakan selesai dijalankan. Ini juga kerana pihak Jabatan sentiasa membuat pemantauan terhadap kawasan pengusahasilan tersebut dan pihak pelesen diminta supaya mematuhi syarat-syarat lesen dan mematuhi prosedur dan syarat-syarat yang ditetapkan sebelum lesen dibuat penutupan akhir.

Oleh itu, kesan-kesan sosial ini perlu dijaga dengan baik, seperti yang dinyatakan oleh masyarakat setempat semasa sesi tinjauan dan FGD. Akhir sekali, masyarakat perlu dididik serta dipupuk dengan kesedaran yang tinggi terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar. Kerjasama rentas jabatan bersama sokongan komuniti setempat amat penting dalam menangani pelbagai kesan sosial yang timbul. Sebagai langkah ke depan, usaha pemantauan perlu dilaksanakan secara berterusan, manakala program pendidikan dan kesedaran awam wajar diperkukuhkan bagi memastikan kelestarian alam sekitar dapat dipelihara untuk jangka panjang.

Impak terhadap aspek sosial ekonomi:

Hasil maklum balas mendapati tidak ada gangguan dan konflik yang timbul dalam komuniti berkaitan dengan penempatan dan masalah sosial yang boleh mengakibatkan pergaduhan. Malah, aktiviti usaha hasil telah memberi manfaat kepada penduduk setempat dalam membuka peluang pekerjaan daripada kontraktor. Pembukaan kawasan usaha hasil tidak menjadi sumber pendapatan untuk penduduk setempat melalui sewaan rumah atau kedai dan pihak kontraktor yang membina jalan telah memberi kemudahan kepada penduduk. Aktiviti pembalakan di kawasan lesen ini tidak mengganggu pendapatan penduduk sebagai asas mata pencarian penduduk mahupun mengganggu bekalan sumber air dan menjejaskan kesihatan penduduk kampung.

Impak terhadap aspek alam sekitar:

Kesimpulan analisis kajian impak sosial yang telah dijalankan sebelum, semasa dan selepas aktiviti pembalakan menunjukkan tiada halangan terhadap kawasan tersebut dan pihak pentadbiran/ pengurus hutan telah mengesorkan agar perkara-perkara seperti berikut diambil perhatian melalui langkah dan tindakan yang sesuai serta akan dilaksanakan seperti: i. Pelesen menjalankan aktiviti pembalakan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan dan sentiasa berhati-hati serta mengambil kira faktor cuaca semasa menjalankan aktiviti; ii. Pelesen menggajikan komuniti setempat agar penduduk mendapat manfaat daripada aktiviti usahahasil ini dari sudut ekonomi; dan iii. Pelesen sentiasa prihatin dan mengambil berat berkaitan kebajikan komuniti penduduk setempat. Pelaksanaan SIA dalam sektor perhutanan di negeri Perak bukan sahaja menjadi alat kawalan untuk mengurangkan kesan negatif pembangunan, tetapi juga membuka ruang kepada penciptaan peluang ekonomi, pengukuhan sosial budaya, penglibatan masyarakat dalam tadbir urus hutan, serta peningkatan kesedaran terhadap kepentingan kelestarian alam sekitar.

SIA berfungsi sebagai pemangkin kepada pembangunan hutan yang lebih inklusif, seimbang, dan mampan demi kesejahteraan generasi kini dan akan datang. SIA di negeri Perak sangat menekankan pandangan dan penglibatan pihak-pihak berkepentingan (pemegang taruh), terutamanya:

i. Komuniti Orang Asli: Mereka adalah kumpulan yang paling sensitif terhadap perubahan hutan kerana kebergantungan mereka yang tinggi terhadap ekosistem hutan;
ii. Masyarakat tempatan: Penduduk kampung dan penempatan kampung tradisi yang berada berhampiran dengan lokasi kawasan HSK;
iii. Pelesen/kontraktor hutan: Pihak yang menjalankan operasi;
iv. Agensi kerajaan yang berkaitan: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Kesihatan, Jabatan Kerja Raya (JKR), pejabat daerah, institusi pendidikan tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS), sekolah dan lain-lain;
v. NGO: Badan bukan kerajaan seperti Persatuan Pencinta Alam (MNS), Tropical Rainforest Conservation & Research Centre (TRCRC), Global Environment Centre (GEC), Free Tree Society (FTS), Worldwide Fund for Nature (WWF) Malaysia, Persatuan Sahabat Bakau Kuala Gula dan RIMAU atau NGO yang berkaitan dengan hak Orang Asli.

Perancangan dan amalan pengurusan hutan hendaklah mengambil kira keputusan penilaian impak sosial yang dilakukan melalui sesi konsultasi bersama pihak yang terjejas secara langsung. SIA di negeri Perak dalam konteks perhutanan berfungsi sebagai alat penting untuk menilai dan menyeimbangkan impak sosial terhadap komuniti, dengan memastikan sebarang projek atau aktiviti hutan dijalankan secara inklusif, telus, dan mampan. Melalui pendekatan ini, pengurusan hutan di Perak bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri, tetapi juga memperkukuhkan kesejahteraan sosial dan kelestarian alam sekitar.

Impak negatif:

Walaupun penilaian impak sosial (SIA) dilaksanakan dengan tujuan meningkatkan keberkesanan pengurusan hutan secara inklusif dan lestari, pelaksanaannya dalam sektor perhutanan di negeri Perak turut berdepan dengan beberapa kesan negatif yang mungkin timbul. Namun, impak negatif selepas operasi adalah bersifat sementara sahaja dan tidak ketara dan akan kembali pulih semula setelah aktiviti pembalakan selesai. Hanya segelintir wakil penduduk menyatakan kebimbangan akan berlaku kepupusan tumbuhan hutan termasuk herba atau hasil hutan bukan kayu dan hidupan liar semasa penilaian sebelum aktiviti usaha hasil dijalankan, namun serta sehingga kini belum ada isu konflik manusia hidupan liar yang dilaporkan. Hanya segelintir wakil penduduk menyatakan pembukaan kawasan pembalakan tidak menghasilkan sumber pendapatan untuk penduduk atau komuniti setempat dalam bentuk sewaan rumah atau kedai, namun majoriti wakil penduduk setempat menyatakan aktiviti usaha hasil yang dijalankan memberi ruang dan manfaat kepada komuniti dalam membuka peluang pekerjaan daripada kontraktor pembalakan.

Tiada konflik dan isu bantahan yang timbul kecuali isu bantahan adalah melibatkan tanah milik syarikat di luar hutan simpanan kekal yang tidak membenarkan penggunaan jalan tanah milik persendirian kepada pelesen atau kontraktor. Pihak kontraktor turut membina jalan yang boleh dijadikan kemudahan kepada penduduk. Malah, aktiviti pembalakan di kawasan lesen ini tidak mengganggu sumber pendapatan penduduk sebagai asas mata pencarian penduduk mahupun mengganggu bekalan sumber air dan menjejaskan kesihatan penduduk kampung.

Analisis kajian impak sosial selepas pembalakan dijalankan mendapati tiada bantahan oleh mana-mana penduduk dikemukakan oleh wakil penduduk dan Ketua Kampung terhadap lesen pengusahasilan ini setelah operasi pembalakan selesai dilaksanakan. Wakil penduduk juga menyatakan aduan atau rungutan ke atas impak visual setelah kerja-kerja selesai dijalankan. Jabatan sentiasa komited dalam membuat pemantauan di kawasan pengusahasilan tersebut dan pihak pelesen adalah diminta supaya mematuhi syarat-syarat lesen dan mematuhi prosedur dan syarat-syarat yang ditetapkan sebelum kawasan lesen di buat penutupan akhir. Berdasarkan kepada penilaian, langkah-langkah berikut boleh diambil untuk mengurangkan kesan negatif, seperti:

i. Amalan pembalakan berimpak rendah (RIL): Menggunakan teknik pembalakan yang meminimumkan kerosakan kepada sisa dirian pokok dan tanah;
ii. Pokok lindungan: Menjadikan pokok-pokok penting tertentu (seperti pokok petai atau tualang) sebagai pokok lindungan yang dilarang tebang, bagi menjaga kepentingan sumber makanan/ekobudaya Masyarakat;
iii. Dialog dan konsultasi: Mengadakan sesi dialog berkala dengan pemimpin Orang Asli dan masyarakat kampung sebelum dan semasa operasi dijalankan; dan
iv. Peluang pekerjaan: Menggalakkan kontraktor memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, termasuk Orang Asli.


Terakhir dikemaskini: 25 Februari 2026

Hubungi Kami