• Utama
  • Perhutanan
  • Sumber Hutan
  • MC&I SFM
  • Pengurusan Hak-Hak Masyarakat Pribumi

Pengurusan Hak-Hak Masyarakat Pribumi

Pengurusan hak-hak masyarakat dalam RPH negeri Perak yang terdahulu, umumnya mengiktiraf kewujudan dan keperluan Orang Asli (masyarakat pribumi) yang tinggal di dalam atau berhampiran kawasan hutan, namun aspek perincian dan perlaksanaan hak-hak ini sering menjadi topik perbincangan dan cabaran. Masyarakat pribumi merangkumi sekitar lima peratus daripada populasi dunia. Orang Asli terutamanya dipengaruhi oleh budaya, tradisi dan bahasa mereka sendiri. Sebilangan besar penduduk Orang Asli ini bekerja dan masih tinggal di hutan atau di tanah berhampiran. Orang Asli di Semenanjung Malaysia merupakan masyarakat pribumi yang diiktiraf secara sah oleh undang-undang negara. Menurut Perlembagaan Persekutuan Perkara 160(2), istilah Orang Asli merujuk kepada golongan peribumi yang berhubung rapat dengan asal-usul serta sejarah tanah air ini. Pengiktirafan ini diperincikan dengan lebih jelas melalui Akta Orang Asli 1954 [Akta 134], Seksyen 3, yang mentakrifkan Orang Asli sebagai seseorang yang menjadi anggota daripada satu daripada rumpun masyarakat pribumi di Semenanjung Malaysia, sama ada melalui keturunan, perkahwinan atau penerimaan oleh komuniti tersebut mengikut adat yang dipersetuju. Masyarakat Orang Asli terdiri daripada tiga kumpulan utama iaitu Negrito, Senoi dan Melayu-Proto, yang merangkumi lebih daripada 18 sub-kumpulan etnik dengan kepelbagaian bahasa, budaya, adat resam dan amalan tradisi. Masyarakat Orang Asli negeri Perak lazimnya tinggal di kawasan pedalaman, pinggir hutan dan kawasan luar bandar, meskipun sebahagiannya kini telah berhijrah ke kawasan bandar akibat proses pembangunan dan integrasi sosial. Walaupun bilangan mereka hanya sekitar satu peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia, komuniti Orang Asli ini mempunyai identiti tersendiri yang menjadi sebahagian penting daripada warisan peradaban negara. Empat daerah pentadbiran hutan di Perak iaitu Perak Selatan, Kinta/Manjung, Kuala Kangsar dan Hulu Perak mempunyai penempatan Orang Asli. Jumlah keseluruhan kampung yang telah diiktiraf sebagai penempatan Orang Asli adalah sebanyak 155 buah kampung bagi empat daerah pentadbiran hutan tersebut yang setiap satunya diketuai oleh Pegawai Hutan Daerah dengan daerah terbesar iaitu Perak Selatan. Hak Orang Asli juga boleh difahami sebagai hak untuk mengakses, mengawal dan menggunakan tanah berdasarkan prinsip, nilai, adat dan tradisi lama, termasuk penggunaan secara bermusim atau mengikut kitaran, yang beroperasi di luar sistem perundangan formal. Hak-hak ini lazimnya dikaitkan dengan institusi pentadbiran tanah tradisional dan undang-undang adat yang menentukan bagaimana hak-hak tersebut diperintah, diperuntukkan serta dipelihara oleh komuniti. Jabatan Perhutanan Negeri Perak sentiasa komited dalam melaksanakan dan mematuhi keperluan MC&I (SFM), khususnya bawah Prinsip 3: Hak-hak Orang Asal. Prinsip ini menekankan pengiktirafan, perlindungan, dan penghormatan terhadap hak-hak masyarakat Orang Asli yang bergantungkepada hutan bagi kehidupan, budaya, dan kesejahteraan mereka. Melalui standard kebangsaan pensijilan pengurusan hutan ini, prinsip menetapkan bahawa hak undang-undang dan adat masyarakat Orang Asli untuk memiliki, menggunakan dan mengurus tanah, wilayah dan sumber mereka hendaklah diiktiraf dan dihormati selaras dengan kehendak bagi prinsip Kriteria 3.1 hingga 3.4 MC&I (SFM) (ST-1002/2021) yang diterbitkan oleh MTCC. JPNPk sentiasa memastikan bahawa:

i. Hak-hak adat dan penggunaan tradisional hutan oleh masyarakat Orang Asli dikenal pasti, didokumenkan, dan diiktiraf dalam perancangan serta pelaksanaan pengurusan hutan;
ii. Perundingan dan penglibatan bermakna (free, prior and informed consent – FPIC) dilaksanakan sebelum sebarang aktiviti pembalakan, pembangunan, atau pengurusan sumber hutan dijalankan di kawasan yang berpotensi memberi kesan kepada komuniti Orang Asli;
iii. Kepentingan sosial, ekonomi, dan budaya masyarakat Orang Asli diambil kira dalam proses pengurusan dan pengagihan manfaat hasil hutan;
iv. Langkah-langkah mitigasi dan pampasan yang bersesuaian untuk dilaksanakan sekiranya perlu melalui aktiviti pengurusan hutan yang memberi kesan kepada tanah atau sumber yang digunakan oleh komuniti Orang Asli.

Selain itu, Jabatan juga memastikan hubungan kerjasama berterusan dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Kerajaan Negeri, dan wakil komuniti bagi menjamin pelaksanaan pengurusan hutan yang inklusif, adil, dan selaras dengan prinsip kelestarian. Komitmen ini bukan sahaja memenuhi keperluan pensijilan MC&I (SFM), tetapi juga mencerminkan tanggungjawab sosial Jabatan dalam memelihara hak dan warisan masyarakat Orang Asli sebagai sebahagian penting daripada ekosistem persekitaran hutan negeri Perak. Kawasan persekitaran hutan di kampung Orang Asli (KOA) adalah melalui empat daerah utama hutan di Jabatan iaitu daerah pentadbiran Perak Selatan, Kinta/Manjung, Kuala Kangsar dan Hulu Perak.

Pengiktirafan melalui peruntukan undang-undang membolehkan masyarakat Orang Asli dilindungi hak mereka, termasuk hak ke atas tanah, kebudayaan, cara hidup serta peluang sosio-ekonomi. Akta Orang Asli 1954 turut menyediakan kerangka perundangan bagi menjaga kebajikan, pembangunan serta pemeliharaan hak-hak mereka, di samping mengiktiraf kepentingan adat dan tradisi yang diamalkan sejak turun-temurun. Oleh itu, peranan serta kedudukan Orang Asli dalam landskap sejarah, budaya dan pembangunan negara amat signifikan, bukan sahaja sebagai komuniti pribumi, tetapi juga sebagai penjaga warisan ekologi dan khazanah hutan Semenanjung Malaysia. Dalam aspek kerangka perundangan, Akta Orang Asli 1954 kekal sebagai undang-undang utama yang mengawal selia hal ehwal Orang Asli. Namun begitu, Akta ini masih belum dipinda sejak kali terakhir disemak pada tahun 1975, dan tiada rang undang-undang baharu untuk menggantikannya sejak tahun 1990. Mengambil kira keperluan pembangunan komuniti Orang Asli yang menyeluruh, Kerajaan kini sedang memuktamadkan Pelan Pembangunan Masyarakat Orang Asli yang komprehensif. Pelan ini bertujuan meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi Orang Asli selaras dengan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), 2021 - 2025. Tumpuan utama adalah menyediakan pendekatan pembangunan yang menyeluruh, termasuk penambahbaikan infrastruktur, kemudahan, dan perkhidmatan asas kepada komuniti Orang Asli. Pengurusan hak-hak masyarakat Orang Asli adalah penting dan perlu di ambil kira dalam perancangan aktiviti dan pelaksanaan sepanjang tempoh 2026-2035. Beberapa pendekatan bersesuaian digariskan bagi pengurusan hak-hak pribumi.

Pengurusan Konflik

Konflik antara masyarakat Orang Asli dan pihak berkepentingan dalam pengurusan hutan sering timbul akibat pertindihan tuntutan tanah adat, aktiviti pengusahasilan, pembangunan ladang hutan, serta dasar pembangunan negeri yang melibatkan kawasan tradisional. Pertikaian ini boleh menjejaskan bukan sahaja kesejahteraan komuniti, tetapi juga kelestarian sumber hutan. Oleh itu, satu mekanisme penyelesaian konflik yang sistematik dan inklusif amat diperlukan bagi memastikan kepentingan semua pihak dilindungi ini termasuk mesyuarat secara berkala bersama JAKOA di peringkat negeri dan nasional melalui sebuah Jawatankuasa Kecil Jabatan Perhutanan Negeri Perak dan JAKOA.


Pengenalpastian dan Pengurusan Tempat-tempat Istimewa

Tempat istimewa dalam konteks Rancangan Pengurusan Hutan dan pengurusan hutan merujuk kepada kawasan di dalam hutan simpan atau kawasan berhampiran yang mempunyai kepentingan khas kepada komuniti Orang Asli, sama ada dari aspek budaya, ekonomi, ekologi atau keagamaan.

Pengenalpastian tempat-tempat istimewa yang mempunyai kepentingan kepada masyarakat Orang Asli merupakan langkah penting bagi memastikan hak, warisan budaya, dan kelestarian ekologi komuniti tersebut dilindungi secara berstruktur. Tempat-tempat istimewa ini meliputi kawasan yang bernilai dari segi kebudayaan, ekologi, ekonomi dan keagamaan, termasuk tapak upacara keagamaan, tanah perkuburan tradisional, lokasi pengumpulan hasil hutan bukan kayu, kawasan sumber air utama, serta kawasan yang mempunyai nilai sejarah dan spiritual seperti tapak keramat. Antara contoh tempat istimewa Orang Asli ialah tanah perkuburan tradisional yang dianggap suci dan tidak boleh diganggu kerana mempunyai nilai budaya, ekologi dan ekonomi yang tersendiri, selain terikat dengan adat serta sistem pengetahuan tradisional masyarakat tersebut.

Proses pengenalpastian tempat-tempat istimewa ini sewajarnya dilaksanakan melalui kerjasama antara Jabatan Kemajuan Orang Asli, Jabatan Perhutanan Negeri, Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan dan wakil komuniti Orang Asli. Kaedah yang lazim digunakan termasuk kajian lapangan, temu bual bersama ketua kaum atau Tok Batin atau ketua adat, serta pengumpulan maklumat lisan menggunakan pendekatan penglibatan. Maklumat yang dikumpul hendaklah disahkan oleh jawatankuasa komuniti sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa untuk direkodkan secara rasmi bagi memastikan ketepatan dan kesahihan data yang diperoleh.

Tempat-tempat istimewa yang mempunyai kepentingan kepada masyarakat Orang Asli dikenal pasti melalui pemerhatian lapangan dan rujukan sumber luar. Antara lokasi yang dikenal pasti termasuk kawasan di HS Temengor yang menempatkan tapak kubur tradisional dan kawasan keramat. Jabatan disarankan untuk menandakan kawasan ini dalam peta lokasi serta mengecualikannya daripada sebarang aktiviti pembalakan atau pembangunan hutan.

Komuniti Orang Asli turut digalakkan untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti pemantauan bagi memastikan kawasan tersebut sentiasa terpelihara. Selain itu, kawasan sumber air bersih yang digunakan oleh komuniti, kawasan memburu tradisional dan hutan yang kaya dengan tumbuhan ubatan juga dikategorikan sebagai tempat istimewa. Kawasan-kawasan ini lazimnya terletak di dalam atau berhampiran hutan simpan dan mempunyai kepentingan khas kepada komuniti Orang Asli dari segi budaya, ekonomi, ekologi dan keagamaan.

Tempat yang dianggap keramat atau mempunyai nilai rohani seperti gua atau bukit yang mempunyai pantang larang tradisional turut termasuk dalam kategori ini. Kawasan tersebut juga sering digunakan sebagai tapak pelaksanaan upacara tradisional seperti sewang, contohnya di Pos Kuala Mu, Sungai Siput yang dihuni oleh suku Temiar di negeri Perak. Senarai bagi tempat-tempat istimewa yang dikenal pasti di negeri ini akan disediakan mengikut lokasi komuniti Orang Asli serta maklumat daripada semakan dokumen NGO, laporan ringkas dan sumber tempatan, termasuk rujukan silang bersama pihak JAKOA. Namun demikian, senarai terperinci tersebut tidak dapat disahkan melalui kajian lapangan disebabkan oleh ketiadaan maklumat rasmi pada masa penilaian dijalankan. Senarai dan peta lokasi bagi tempat-tempat istimewa tersebut boleh dirujuk seperti yang disertakan dalam Rajah 6.6.1, iaitu peta lokasi tempat-tempat istimewa di persekitaran HSK negeri Perak.

Upacara tradisional seperti sewing

i. Kampung Tonggang di Tanjung Rambutan atau Ulu Kinta oleh suku Temiar
ii. Kampung Sungai Chadak, Ulu Kinta oleh suku Temiar
iii. Kampung Ulu Gerik, Gerik oleh suku Temiar
iv. Kampung Aman Damai, Sungai Tiang / Royal Belum oleh suku Jahai Hulu Perak di Royal Belum
v. Kampung Sungai Tiang, oleh suku Jahai Hulu Perak di Royal Belum

Lokasi nilai spiritual atau tradisional

i. Gua Gendang di Pengkalan Hulu mempunyai keistimewaaan ciri ekologi dan berpotensi untuk kebudayaan.
ii. Bukit Asu (kampung Orang Asli Bukit Asu berhampiran Kg. Pong) di Pengkalan Hulu, Hulu Perak mempunyai keistimewaan budaya, ekologi dan keagamaan melalui sumber Sahabat Alam Malaysia.
iii. Ulu Titi Basah (Gunung Ulu Titi Basah) iaitu puncak sempadan Hulu Perak (Belum-Temengor) bagi ciri ekologi (hutan primer), budaya komuniti.
iv. Gunung atau Bukit Kenderong di Kerunai.
v. Gunung Peninjau / Bukit-Kledang Banjaran.
vi. Tasik Temenggor sebagai fungsi ekologi iaitu habitat, sumber air, ekonomi termasuk hasil hutan, ikan dan budaya.
vii. Gua Badak terdapat seni batu oleh komuniti Orang Asli.
viii. Kompleks gua kecil di kawasan Pengkalan Hulu atu Kg. Tasek di kawasan pedalaman.
ix. Bukit dan gunung-gunung kecil di Banjaran Sankalakhiri di Hulu Perak iaitu tapak yang dilaporkan secara lisan dalam komuniti Orang Asli untuk upacara keagamaan keramat oleh komuniti.



Terakhir dikemaskini: 27 Februari 2026

Hubungi Kami