Komposisi Dan Perubahan Yang Diperhatikan Pada Fauna Di Negeri Perak
Fauna merupakan satu daripada komponen utama bagi sesebuah ekosistem hutan. Fungsi dan peranan yang dimainkannya adalah amat penting dalam memastikan kesinambungan serta kelestarian ekosistem hutan agar terus berkekalan. Adalah dianggarkan sebanyak 30% komposisi vertebrata darat dipercayai boleh ditemui di negeri Perak berdasarkan persampelan, inventori dan cerapan data serta penulisan jurnal, prosiding, artikel-artikel saintifik dan laporan yang telah dihasilkan dan diterbitkan. Peratusan ini menunjukkan bahawa negeri Perak kaya dengan kepelbagaian biologi terutamanya fauna.
i. Mamalia
Sehingga kini, negeri Perak mencatatkan 134 spesies mamalia daripada 35 famili. Famili Vespertilionidae (kelawar biasa) mencatatkan jumlah spesies paling tinggi iaitu sebanyak 16 spesies, diikuti dengan famili Muridae (tikus dan mencit) sebanyak 15 spesies dan yang ketiga adalah daripada famili Sciuridae (tupai) dengan rekod penemuan sebanyak 12 spesies. Sebanyak 70% spesies yang direkodkan terdiri daripada mamalia kecil (mamalia yang mempunyai berat kurang daripada 5 kg diperingkat dewasa), namun demikian, terdapat beberapa spesies mamalia utama yang turut direkodkan antaranya harimau belang (Panthera tigris), gajah (Elephas maximus), seladang (Bos gaurus) dan tapir (Tapirus indicus). Harimau belang merupakan vertebrata utama yang boleh dikenali sebagai spesies “payung” yang merupakan pemangsa utama di dalam rantaian makanan. Namun kini, harimau belang di ambang kepupusan apabila fauna ini sering diburu dan dijerat. Terdapat beberapa spesies mamalia yang endemik di kawasan pergunungan seperti tikus babi (Hylomys suillus) dan tikus Cameron (Niviventer cameroni) yang menunjukkan bahawa kawasan-kawasan ini mempunyai nilai pemeliharaan yang tinggi.
ii. Avifauna
Bagi avifauna pula, sebanyak 452 spesies burung daripada 73 famili telah direkodkan bagi negeri Perak dan lebih 70% merupakan spesies burung residen manakala selebihnya adalah burung hijrah. Beberapa spesies telah mendapat perhatian kerana status pemeliharaannya yang meruncingkan dan boleh mengakibatkan kepupusan di kawasan setempat iaitu helang lebah (Pernis ptilorhynchus), lang sewah (Accipiter gularis), lang rajawali (Accipiter soloensis), lang bintik (Aquila clanga), but-but besar (Centropus rectunguis), sambar hutan (Rhinomyias brunneata), kuang cermin (Polyplectron inopinatum) dan barau-barau (Pycnonotus zeylanicus).
iii. Amfibia
Terdapat lebih daripada 200 spesies amfibia yang direkodkan di Malaysia namun bagi negeri Perak sahaja, terdapat 53 spesies amfibia yang terdiri daripada enam famili iaitu Bufonidae, Megophryidae, Microhylidae, Ranidae, Dicroglossidae dan Rhacophoridae. Famili Dicroglossidae mencatatkan jumlah spesies yang paling tinggi direkodkan iaitu sebanyak 12 spesies dan diikuti oleh famili Ranidae dan Rhacophoridae sebanyak 11 spesies masing-masing. Kewujudan amfibia terutamanya famili Microhylidae di sesebuah kawasan merupakan petunjuk penting dalam menunjukkan status kesihatan hutan tersebut. Kebanyakan spesies katak memerlukan kawasan air yang bersih untuk bertelur seperti katak tanduk (Megophrys nasuta). Tidak dinafikan juga terdapat spesies katak yang masih boleh bertelur pada air-air lopak seperti kodok (Phrynoidis aspera). Komposisi spesies yang ditemui menunjukkan status kesihatan hutan tersebut. Katak memerlukan sumber air yang bersih untuk bersenyawa dan bertelur kerana amfibia ini menjalankan proses persenyawaan luar. Proses persenyawaan luar berlaku apabila katak betina melepaskan telurnya ke dalam air dan diikuti dengan sperma yang dirembeskan oleh katak jantan. Jika keadaan sumber air di kawasan ini tercemar, maka sesetengah spesies katak yang sensitif terhadap komposisi nutrien air ini akan semakin pupus. Kepupusan spesies tertentu akan mengakibatkan sesetengah spesies yang tinggi daya tahan terhadap pH air akan terus hidup dan lambat laun akan mengakibatkan proses dominasi dan penspesiesan yang boleh mengakibatkan proses kepupusan setempat.
iv. Reptilia
Reptilia, selain amfibia, merupakan spesies vertebrata poikilotermik (berdarah sejuk). Cicak, gecko dan ular adalah fauna yang dikelaskan dalam kategori reptilia. Terdapat lebih daripada 500 spesies reptilia direkodkan di seluruh Malaysia namun, bagi negeri Perak, sebanyak 207 spesies reptilia daripada 17 famili telah direkodkan. Famili Colubridae telah mencatatkan komposisi spesies yang tertinggi direkodkan iaitu sebanyak 62 spesies, antaranya ular laju pokok merah (Gonyosoma oxycephala) dan ular rumah Butler (Lycodon butleri). Kebanyakan spesies ular daripada famili ini tidak bersaiz besar seperti ular sawa dan tidak begitu berbisa seperti ular kapak. Selain itu, dua famili telah dicatatkan bagi kumpulan kura-kura dan tuntung iaitu Geoemydidae dan Testudinidae dengan 12 spesies direkodkan. Bagi kategori cicak, famili Agamidae mencatatkan jumlah spesies yang paling banyak direkodkan iaitu 26 spesies. Reptilia mengawal suhu badannya berdasarkan keadaan sekeliling berbanding mamalia yang berdarah panas. Jika suhu di sekeliling semakin panas atau semakin sejuk, maka spesies tersebut akan mengalami proses yang sama. Oleh itu, bagi mendapatkan suhu badan seperti sebelumnya, reptilia khususnya ular akan berpindah ke tempat lain sehingga suhu badannya stabil seperti sebelumnya. Oleh yang demikian, reptilia juga merupakan agen terbaik dalam penentuan sesuatu tempat tersebut mengalami perubahan suhu ataupun tidak.
v. Fauna berkaitan dengan negeri Perak
Berikut adalah senarai spesies fauna yang namanya mempunyai kaitan dengan negeri Perak (Jadual 3.4.7). Fauna ini mungkin mula direkodkan di negeri Perak seperti Amolops larutensis di Bukit Larut atau spesies endemik bagi hutan simpan tersebut seperti Sphenomorphus temengorensis yang endemik di Hutan Simpan Temengor.
Jadual Nama Fauna Yang Berkaitan Dengan Negeri Perak
