Kaedah-Kaedah Pengusahasilan
KAEDAH-KAEDAH PENGUSAHASILAN DI NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN
Pengusahasilan hutan di Negeri Perak telah dilaksanakan mengikut keperluan piawaian Kriteria, Petunjuk dan Aktiviti yang telah ditetapkan oleh Objective ITTO Year 2000, keperluan Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) MS ISO 9001:2015 dan Garis Panduan Jalan Hutan 2010 (Pindaan 2013). Pengusahasilan bagi Hutan Darat di dalam Hutan Simpanan Kekal adalah tertakluk kepada catuan tebangan tahunan. Kriteria utama Pengusahasilan Hutan adalah untuk mengurus dan memelihara hutan sejajar dengan Kriteria dan Petunjuk Malaysia untuk Pengurusan Hutan Mampan (Sustainable Forest Management) bagi faedah sosial, ekonomi, kebudayaan dan alam sekitar. Amalan pembalakan berimpak rendah (Reduce Impact Logging – RIL) juga diamalkan dalam kerja-kerja pembalakan seperti penilaian impak sosial, perancangan terperinci sebelum, semasa dan selepas operasi pembalakan, pengawalan dan pemantauan pembinaan infrastruktur pembalakan dan pemulihan hutan, keselamatan dan kesihatan pekerja, latihan dan penyelenggaraan mesin dan jentera pembalakan.
Pengusahasilan hutan merupakan aktiviti mengambil dan mengeluarkan hasil hutan yang banyak menyumbang kepada perkembangan dan pembangunan sosio-ekonomi. Pengusahasilan dalam Hutan Simpanan Kekal merupakan satu aktiviti yang perlu dilaksanakan mengikut sistem Pengurusan Hutan Secara Berkekalan yang terbaik dengan menebang dan mengeluarkan kayu-kayu yang cukup saiz dan matang bagi keperluan industri berasaskan kayu. Pengusahasilan ini dilaksanakan secara sistem tebangan memilih dengan meninggalkan dirian yang mencukupi di pusingan berikutnya selaras dengan pengusahasilan yang ekonomik bagi menjamin pengekalan sumber hutan dan kestabilan alam sekitar.
Teknik-teknik yang digunakan di dalam aktiviti pengusahasilan ialah teknik tebangan berarah dan antara peralatan yang digunakan adalah seperti berikut :
- Gergaji Berantai
- Pelindung Telinga
- Topi Keselamatan
- Pelindung Muka
- Sarung Tangan
- Kasut Keselamatan
- Jaket Keselamatan