Tutup Bumi

ttpbumi Nama saintifik : Elephantopus scaber L.
Nama biasa : Elephant's foot/Solomon's seal
Nama tempatan : Tutup bumi/Tapak Sulaiman
Famili : Compositae

Pendahuluan:

Disebabkan oleh daunnya yang terhampar dan menutupi ruang atas lapisan tanah, orang Melayu mempercayai bahawa tumbuhan ini merupakan bekas tapak Sulaiman yang berperanan mengurung Jin yang terdapat di dalam tanah. Di sebabkan namanya sebagai tapak Sulaiman, secara tradisinya tumbuhan ini sangat mujarab untuk merawat semua penyakit. Buat masa ini, tumbuhan ini tidak ditanam di Malaysia tetapi dikutip secara liar oleh dukun bagi kegunaan rawatan mereka.


Ciri - Ciri Tumbuhan

Tumbuhan ini tumbuh melata dan jangkahayat yang panjang dan boleh tumbuh sehingga 50cm. Daunnya tumbuh dengan padat pada bahagian bawah batang dan susunan daunnya secara berjambak. Tepi daunnya bergerigi, dipenuhi dengan rerambut berwarna keputihan, bentuk daun pelbagai bentuk, bujur atau bulat di bahagian hujung daun dan mengecil pada bahagian pangkal daun. Tangkai daun pendek dan berbulu.


Tabiat Tumbuhan

Tumbuhan ini boleh dijumpai secara liar di tepi jalan raya, padang yang berumput dan di pinggir hutan. Tumbuhan ini boleh dibiak melalui biji benih. Biji benih boleh dikutip dengan cara menutup bunganya menggunakan sehelai kertas. Biji benihnya sangat kecil dan ringan . Oleh itu semasa menyemai biji benihnya perlu digaul bersama dengan tanah dan ditabur ke atas batas semaian. Peratus percambahan adalah lebih kurang 70-80%.


Bahagian Yang Digunakan

  • Keseluruhan pokok, akar


Amalan Tradisi Perawatan

Tumbuhan ini digunakan sebagai diuretik iaitu mengurangkan demam dan mengurangkan kencing tak lawas (anuria) dan mengurangkan pengeluaran mukusa (blennorrhagia). Lain -lain penggunaan adalah sebagai bahan antibiotik, mengurangkan bengkak, anti radang dan untuk melicinkan kulit. Dipercayai sesuai untuk merawat leucorrhea ( rembesan mukusa yang tidak normal keluar dari vagina), anaemia (tidak cukup darah disebabkan oleh kepucatan) dan digunakan semasa bersalin. Di Malaysia, herba tutup bumi digunakan untuk melawas kencing, mengurangkan rasa sakit dan digunakan di bahagian luar dengan membalut pada tempat sakit. Air rebusan akar atau daun yang diminum boleh dijadikan tonik untuk menghapus cacing dalam badan, merawat batuk dan penyakit kelamin. Air rebusan akar yang masih segar dicampur dengan sirih digunakan untuk menghalang muntah sementara daunnya digunakan untuk merawat penyakit yang disebabkan oleh pengumpulan air dalam badan (dipanggil busung oleh masyarakat melayu).



Terakhir dikemaskini: 15 Julai 2014

Hubungi Kami