Keremak

Nama saintifik : Eclipta alba hassk.
Nama biasa : False daisy
Nama tempatan : Keremak
Famili : Compositae

Pendahuluan:
Keremak biasanya dimakan mentah sebagai salad atau 'ulam'. Menurut sistem perubatan Ayurveda, tumbuhan ini mempunyai banyak ciri-ciri perubatannya yang 'tersembunyi' dan amat mujarab dalam membantu kesihatan jantung dan sistem peredaran darah. Ia juga merupakan herba penting yang digunakan untuk menyuburkan buah pinggang dan hati.

Ciri - Ciri Tumbuhan
Keremak merupakan sejenis herba menjalar dan bercabang yang boleh tumbuh dengan ketinggian kira-kira 15-20 cm. Daunnya ringkas, hijau, glabrus dan susunan daun dalam pasangan yang bertentangan. Daun bujur berbentuk pisau pembedah dan bergerigi cetek yang berwarna kemerahan. Mempunyai bunga yang terletak pada bahagian atas dan panjangnya kira-kira 6-8 mm

Tabiat Tumbuhan
Keremak boleh dilihat tumbuh liar di kawasan tanah lembap, di samping kawasan tepi sungai, sawah padi , di kawasan ladang-ladang tebu dan di tepi-tepi jalan.

Bahagian Yang Digunakan
Daun , keseluruhan pokok

Amalan Tradisi Perawatan
Tumbuhan ini digunakan untuk merawat hepatitis, demam kuning, artritis, penyakit kulit dan merangsang pertumbuhan rambut. Di Malaysia, air rebusan akar digunakan terus atau dicampur dengan biji jintan putih dan sering diminum oleh wanita Melayu selepas bersalin. Ia juga digunakan sebagai tonik rambut, boleh menyebabkan muntah, obat pencuci perut, rawatan sembelit dan gastrik. Daun yang ditumbuk biasanya digunakan untuk merawat penyakit kulit, kusta dan untut. Daun yang direbus dan disapu pada gusi untuk mengurangkan sakit gigi.



Terakhir dikemaskini: 15 Julai 2014

Hubungi Kami