• selamat dtg
  • jkkp
  • komited
  • MC&I

Pengurusan Hutan

Polisi Dan Strategi

Untuk memastikan HSK diurus secara berkekalan, "Dasar dan Strategi Pengurusan Hutan untuk Semenanjung Malaysia" telah dicadangkan dalam tahun 1976 dan seterusnya diterima sebagai tambahan kepada Dasar Perhutanan Negara. Dasar tersebut digubal bagi memastikan penggunaan sepenuhnya sumber hutan, penghasilan yang berkekalan, faedah sosial dan ekonomi yang maksimum dan kestabilan alam sekitar. Dasar pengurusan serta objektif-objektifnya yang telah diterima adalah seperti berikut :

1. Untuk mengurus dan menggunakan sumber hutan bagi mendapatkan faedah yang maksimum berdasarkan keupayaan semulajadi dan rancangan pengurusan serta penggunaan tanah hutan yang menyeluruh.

2. Untuk menentukan hasil yang berpotensi dengan berpandukan kepada taksiran yang mendalam dan sistematik ke atas sumber hutan, daya ketumbuhannya dan faktor lain yang berkaitan.

3. Untuk mengusahasilkan hutan secara konservatif dengan cara tebangan memilih supaya meninggalkan anak benih semulajadi yang mencukupi selaras dengan tebangan yang berekonomik bagi memastikan asas sumber-sumber hutan yang berkekalan.

4. Untuk menggunakan dengan sebaik-baiknya sistem pengurusan hutan yang telah dirumuskan berdasarkan kepada maklumat yang diperolehi daripada teknik-teknik pengurusan yang bersepadu dan kajian-kajian operasi.

5. Untuk memulihkan semula hutan yang telah diusahasilkan dan hutan miskin supaya dapat menghasilkan stok minimum yang bersamaan dengan dua puluh lima (25) pokok sehektar bagi spesies-spesies dagangan yang berperepang 45 cm pada dada untuk menjamin pengeluaran balak yang berekonomik.

6. Untuk menubuhkan ladang hutan dengan spesies-spesies dagangan yang cepat tumbesar serta menggalakkan pelbagaigunaan hutan dan pemeliharaan alam sekitar semulajadi.

Selaras dengan polisi dan objektif-objektif pengurusan hutan yang tersebut di atas, strategi-strategi berikut telah dirumuskan:

1. Tanah hutan yang akan dibuka untuk projek pertanian hendaklah dirancang dengan teliti agar pengeluaran balak dapat dikawal serta menjamin penggunaan yang maksimum. Peraturan-peraturan untuk tebang habis sesuatu kawasan akan dipatuhi sepenuhnya.

2. Tanah berhutan yang tidak terlibat dengan projek-projek pertanian dan sebagainya akan dijadikan HSK dan akan diurus supaya mendatangkan hasil yang maksimum di samping memelihara kualiti alam sekitar.

3. Satu sistem inventori hutan yang intensif dengan intensiti sekurang-kurangnya 10 peratus akan dijalankan sebelum penebangan, terutamanya bagi hutan dara, sebagai asas untuk menentukan sistem pengurusan hutan dan silvikultur yang paling efektif. Keutamaan akan diberikan kepada pemulihan hutan semulajadi melalui pengekalan tinggal untuk giliran akan datang.

4. Bancian anak pokok akan dipergiatkan ke atas hutan yang telah diusahasilkan untuk menentukan status, kandungan dan kelasnya serta rawatan silvikultur yang akan dijalankan.

5. Kajian tanah yang lengkap akan dijalankan bagi menentukan kawasan tanaman dan pemilihan spesies-spesies yang bersesuaian.

6. Kawasan hutan yang sesuai akan ditentukan untuk dipelbagaigunakan selaras dengan tujuan untuk meningkatkan keperluan beriadah, pemeliharaan tanah dan air dan juga pemeliharaan flora dan fauna.

7. Kajian yang mendalam akan diteruskan ke atas produktiviti hutan serta kajian tumbesaran dan pengeluaran dan lain-lain aspek mengenai pengurusan dan pembangunan hutan akan juga dijalankan.

Hutan Dipterokarpa Hutan dara atau hutan matang (climax forest) bukanlah matlamat utama di dalam pengeluaran hasil. Pengetahuan serta kefahaman mengenai pusingan pemulihan hutan sehingga mencapai tahap kematangan adalah penting dalam menentukan pembangunan hutan semulajadi. Pengetahuan ini adalah amat berguna bagi pengurusan sesuatu kawasan hutan. Matlamat yang paling diutamakan di dalam pengurusan hutan secara berkekalan ialah bagi mendapatkan kadar tebangan tahunan yang seimbang dengan kadar penghasilan berkekalan supaya kenaikan min tahunan bersamaan dengan tebangan tahunan. Dalam hal yang demikian komposisi hutan pengeluaran tidak semestinya sama dengan hutan telah matang.

Hutan di Semenanjung Malaysia telah mula dengan sistematik sejak Jabatan Perhutanan di tubuhkan pada tahun 1901. Amalan-amalan pemeliharaan dan pengurusan hutan yang menitikberatkan aspek-aspek ekologi dan alam sekitar telah digubal untuk menjamin perkhidmatan dan penghasilan yang berkekalan.

Pada awal tahun 1920an, pengurusan sumber hutan dengan cara Departmental Improvement Felling (DIF) telah dijalankan untuk meningkatkan mutu kandungan dirian hutan. Spesies pokok yang kurang bermutu dibuang secara berperingkat-peringkat bagi membantu pertumbuhan pokok-pokok yang bernilai seperti Noebalanocarpus heimii dan pokok-pokok jaras yang berpasaran. Amalan ini kemudian dihentikan kerana telah didapati kurang sesuai berikutan permintaan yang meningkat terhadap kayu api dan kayu jaras di dalam tahun1930an. Dengan itu, di mana sesuai pengurusan hutan secara Commercial Regeneration Felling (CRF) telah diamalkan yang melibatkan penebangan kayu jaras secara berperingkat dalam tempoh 5 tahun sebelum pengusahasilan hutan dibenarkan. Walau bagaimanapun di kawasan yang tidak ada pasaran untuk jenis ini, maka Departmental Regeneration Felling atau Reneration Improvement Felling(RIF) dijalankan di mana pembukaan silara adalah lebih ketara diikuti dengan pemotongan tumbuhan kecil.

Selepas peperangan Pasifik, amalan Regeneration Improvement Felling (RIF) telah dihentikan berikutan permintaan yang meningkat terhadap bahan mentah dengan bertambahnya bilangan kilang papan serta penggunaan jentera berat dalam pengusahasilan hutan. Dalam pada itu didapati bahawa kawasan- kawasan hutan yang telah musnah semasa pemerintahan Jepun dan juga kawasan lapang akibat dilanda ribut terdapat pokok-pokok bersaiz jaras yang mencukupi. Pokok-pokok ini telah membesar dengan cepatnya dari anak benih yang tidak rosak semasa pembalakan dan menjadi tumbuhan unggul(dominant) sementara spesies berpasaran yang lebih lambat pertumbuhannya menjadi tumbuhan separa unggul (sub-dominant). Sebagai contoh, anak benih Meranti (Shorea spp) cepat membesar sebaik sahaja naungan dibuka. Faktor-faktor ini telah menyumbang kepada penggubalan Sistem Sebaya Malaya atau Malaya Uniform System (MUS) di dalam tahun1948. Pada dasarnya sistem ini adalah untuk mengubah hutan hujan pamah tropika yang kompleks dan kaya dengan pelbagai spesies pokok dengan umur yang berbeza-beza kepada hutan yang sebaya umur.

MUS melibatkan penebangan semua spesies pokok matang berukuran 45 cm ppd dalam sekali tebangan serta pembebasan anak-anak pokok terpilih yang berbagai peringkat umur dari jenis kayu keras sederhana dan ringan yang memerlukan cahaya. Operasi tebangan ini diikuti dengan menggelang-racun semua pokok saka dan spesies tidak berpasaran yang berukuran 15cm ppd ke atas. Inventori Hutan Selepas Tebangan dijalankan dalam tempuh 2 hingga 5 tahun selepas tebangan bagi mempastikan anak-anak pokok di atas tanah adalah mencukupi dan seterusnya untuk menentukan rawatan silvikultur yang sesuai.

Sistem Sebaya malaya dahulunya menumpu kepada anak-anak benih yang akan menggantikan dirian sedia ada dan rawatan silvikultur bergantung ke arah pembiakan anak-anak benih ini dan ada kalanya mengabaikan pokok-pokok besar dan anak semulajadi. Oleh itu pokok-pokok yang besar telah digelang- racun untuk membuka naungan kepada anak-anak benih tersebut. Pada masa kini teknik ini kurang digunakan dan rawatan silvikultur ditumpukan terhadap pemeliharaan sumber hutan. Aliran kerja yang terlibat dalam modified MUS.

Sistem pengurusan ini didapati sesuai dan berkesan di Hutan Pamah Dipterokarpa tetapi tidak begitu bagi Hutan Bukit Dipterokarpa disebabkan ole keadaan kawasan yang berbukit dan berkecerunan tinggi, kandungan